Sunday, November 20, 2011

MAJLIS PENYERAHAN KTS FOUNDATION STUDY BURSARIES

Lokasi : Crown Towers Hotel
Masa : 2.00 petang

Pada 10 November 2011 bersamaan hari  Khamis bertempat di Crown Towers Hotel berlangsungnya Majlis Penyerahan KTS Foundation Study Bursaries. Seramai tiga  orang pelajar dari SMV Kuching telah dicalonkan dan telah terpilih sebagai penerima biasiswa tersebut iaitu Chai Sze Sing dari kelas 5PPN, Morgan Anak Davis 5EE dan  Muhd Muzaffereddin Muhd Jamil juga dari kelas 5PPN. Sehubungan dengan itu mereka telah menerima cek berjumlah RM200.00 setiap  seorang serta langganan  suratkhabar dari Utusan Borneo atau See Hua Daily selama setahun. Majlis tersebut telah berlangsung dengan meriah dan jayanya.  Tahniah diucapkan kepada penerima tersebut. 
penerima biasiswa bersama cek masing-masing
Bersama Pn Norkamaliah, JK Biasiswa SMVKu

Friday, November 18, 2011

Majlis Graduasi SKM 2011

Bertarikh 29 Oktober 2011, telah berlangsung satu majlis penuh gilang gemilang dan bersejarah buat 35 orang pelajar aliran kemahiran SMVKu. Seramai 35 orang pelajar daripada aliran kemahiran pelbagai bidang iaitu Pelukis Pelan Senibina, Mekanik Kenderaan Motor dan Juruteknik Rendah Elektronik Industri telah menerima sijil masing-masing dalam Majlis Graduasi SKM 2011 yang telah disempurnakan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Kuching, Hjh Maimunah Bt Bujang yang mewakili Pengarah Pelajaran Sarawak.

Majlis yang turut dihadiri oleh semua guru dan ibu bapa itu turut dimeriahkan oleh pertunjukkan kebudayaan yang telah dipersembahkan oleh penari daripada Kelab Kesenian dan Kebudayaan SMVKu.

 Pada majlis itu juga, Caroline Goh Sin Yee dari Kursus Pelukis Pelan Senibina telah diumumkan Pelajar Terbaik Keseluruhan Aliran Kemahiran. Beliau telah dipilih berdasarkan pencapaian yang membanggakan dalam semua subjek kursus dan penglibatan dalam kokurikulum.



Tuesday, November 1, 2011

Lawatan Pengawas SMVKu ke Institut Kemahiran Mara (IKM)

Pada hari Isnin, 24 Oktober yang lalu, sekali lagi Lembaga Pengawas SMVKu telah mengadakan lawatan luar, lokasi kali ini pula adalah ke Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuching. Lawatan kali ini telah disertai oleh 16 orang Pengawas dan diiringi oleh 3 orang guru. Rombongan tiba di IKM pada jam 11.05 pagi dan disambut oleh Penolong Pengarah dan beberapa orang Pengajar. Majlis dimulakan dengan ucapan selamat datang dan diikuti oleh ucapan balas oleh wakil SMVKu. Majlis kemudian diteruskan lagi dengan sesi soal jawab dan lawatan ke sekitar bengkel IKM.

Secara keseluruhannya, lawatan kali ini telah memberikan input yang begitu berguna disamping dapat merasai sendiri pengalaman berada di institusi pendidikan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.

Laporan disediakan oleh, Chai Sze Sing (S/U Lembaga Pengawas SMVKu)

Dihadapan Blok Pentadbiran IKM Kucing

Antara hasil kerja pelajar IKM yang dipamerkan

Lawatan Pengawas SMVKu ke SMK Siburan

Pada 15 Oktober yang lalu bersamaan hari Jumaat, Lembaga Pengawas SMVKu telah mengadakan lawatan sambil belajar ke SMK Siburan. Lawatan ini telah disertai oleh 26 orang pengawas dan diiringi oleh 5 orang guru. Tujuan lawatan ini adalah untuk meluaskan pengetahuan dan menambahkan pengalaman sekali gus dapat melihat persekitaran sekolah lain.

Lawatan yang bermula seawal jam 0900 pagi telah disambut oleh Tuan Pengetua dan barisan Pengawas SMK Siburan. Rombongan daripada SMVKu telah diberikan penerangan dan maklumat yang jelas serta menarik. Cikgu Jamali yang mengetuai rombongan tersebut, dalam ucapannya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih disamping berharap agar hubungan yang dijalin antara kedua-dua buah sekolah akan berkekalan sampai bila-bila. Rombongan bertolak pulang ke SMVKu pada jam 11.20 pagi.

Laporan disediakan oleh, Chai Sze Sing (S/U Lembaga Pengawas SMVKu)


Bergambar kenangan bersama Pengawas SMK Siburan


Mungkin ada perbincangan menarik sehingga muka masing-masing kusyuk dan fokus