Monday, December 8, 2014

Naza sumbang 100 kereta bernilai RM4j

SM NASARUDIN SM NASIMUDDIN (dua dari kiri) dan Idris Jusoh (tiga
SM NASARUDIN SM NASIMUDDIN (dua dari kiri) dan Idris Jusoh (tiga dari kiri) bersama wakil politeknik ,Kolej Vokasional dan kolej komuniti yang menerima replika kunci kereta Naza Forza sumbangan Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin di Gurun, Kedah, semalam.
JERAI 8 Dis. - Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin hari ini menyumbangkan 100 buah kereta jenis Naza Forza bernilai RM4 juta kepada Kementerian Pendidikan untuk kegunaan politeknik, kolej vokasional dan kolej komuniti terpilih di seluruh negara.
Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, sumbangan tersebut bertujuan memenuhi tanggungjawab sosial korporat di samping membantu usaha kerajaan meningkatkan sistem pendidikan negara.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah yayasan itu berkata, kereta tersebut juga boleh memberi manfaat kepada para pelajar 47 institusi terbabit meningkatkan kemahiran teknikal dan automotif.
“Kami amat berbesar hati kerana dapat menyumbangkan bahan untuk pengajaran teknikal kepada setiap institusi ini. Yayasan dan Kumpulan Syarikat Naza yakin ia dapat membantu dalam pendidikan yang lebih holistik kepada hampir 8,000 pelajar terutamanya yang terlibat dalam kursus kejuruteraan dan teknikal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan replika kunci kenderaan kepada wakil institusi terbabit yang disaksikan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh di Naza Automotive Manufacturing (NAM) Sdn. Bhd., Gurun, di sini.
Yang hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pendidikan, Datuk Mohlis Jaafar dan Pengarah Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Datuk Ahmad Tajudin Jab.
SM Nasarudin berkata, kereta Naza Forza tersebut merupakan kenderaan hatchback mini lima pintu yang mula diperkenalkan di pasaran sebagai Naza Sutera pada tahun 2006.

Katanya, model tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan jualan lebih 11,000 unit dan dihentikan pengeluaran pada tahun 2010.
“Selain sumbangan kereta, yayasan juga akan menanggung semua kos logistik dan pembaikan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Kumpulan Syarikat Naza komited membantu mempertingkatkan sistem pendidikan negara apabila mengambil inisiatif menubuhkan Akademi Naza di Gurun dengan pelaburan sebanyak RM20 juta pada 2006.
Sementara itu, Idris berkata, kerajaan memang menggalakkan sektor korporat dan industri membuka akademi sendiri.
Beliau berkata, langkah tersebut bukan sahaja membantu melahirkan tenaga kerja terlatih tetapi turut mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan muda-mudi.
“Usaha yang diambil Kumpulan Syarikat Naza wajar dicontohi kerana selain terlibat aktif dalam perniagaan, ia turut menjayakan hasrat kerajaan melahirkan sebanyak mungkin golongan masyarakat berpendidikan,” katanya.