Tarikh 3 Mac 2011 menjadi satu detik bersejarah yang menyaksikan MOU termeterai antara PPKS dan SMVKu. Majlis menandatangani MOU ini disaksikan oleh YB Datuk Dr Abang Hj Abdul Rauf Bin Abang Hj Zen, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak. MOU ini antara lain dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala antara pihak sekolah dengan PPKS selain para pelajar SMVKu mendapat peluang dan keutamaan untuk melanjutkan pelajaran di PPKS selepas tamat SPM dan SKM. Semoga hubungan yang tersedia terjalin ini berkekalan sampai bila-bila.
|
Dari Kiri Tn Hj Baharudin, Datuk Dr Abg Hj Abd Rauf, En S.K Sim, Pn Flora dan En Lim Ah Juan |
|
Delegasi dari SMVKu bertukar cenderahati dengan PPKS |
|
Wajah ceria mereka yang terlibat setelah selesai MOU |
Petikan daripada Utusan Malaysia bertarikh 4 Mac 2011
KUCHING 3 Mac - Sembilan sekolah menengah hari ini dijadikan sekolah angkat kepada Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) bagi meningkatkan pembangunan modal insan negeri.
Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Jaya, SMK Demak Baru, SMK Petra Jaya, SMK Kota Samarahan, SMK Lake, Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sejingkat, Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Kuching, SMV Betong dan SMV Miri.
Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rauf Abang Zen berkata, perkara itu adalah kesinambungan usaha kerajaan bagi memastikan para pelajar diberi pendidikan yang bertepatan bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan.
Dalam senario dunia yang semakin mencabar, katanya, pendidikan yang diberikan kepada generasi muda mestilah bersesuaian dengan keperluan semasa.
"Jika tidak, mereka hanya akan belajar dan mendapat sijil, namun tidak mendapat pekerjaan.
"Kerana itulah PPKS mengambil inisiatif ini dengan turun padang bagi membangunkan potensi rakyat Sarawak," katanya.
Beliau berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Sekolah Angkat PPKS yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutifnya, Baharudin Abdullah.
Antara objektif projek sekolah angkat yang digariskan oleh PPKS ialah membantu pelajar dalam pelbagai aspek, terutamanya akademik, pembangunan diri dan kesihatan fizikal, mental dan psiko sosial.
Selain itu, projek berkenaan juga boleh meningkatkan keyakinan diri dan imej kendiri para pelajar melalui bengkel motivasi dan aktiviti yang disediakan oleh PPKS dari semasa ke semasa.
Mengulas lanjut, Abdul Rauf mengingatkan para pelajar bahawa mereka kini berada pada zaman yang jauh lebih baik daripada generasi ibu bapa.
Katanya, selain sistem pendidikan yang semakin mantap, mereka juga menerima banyak bimbingan dalam menentukan hala tuju kehidupan.
"Ia cukup berbeza dengan generasi saya, mungkin apa yang dicapai saya dan rakan-rakan seangkatan dalam kehidupan kini hanyalah secara kebetulan," katanya berseloroh.