SM Vokasional Kuching akan dikenali sebagai Kolej Vokasional Kuching mulai 2012 (Sekolah Rintis Zon Sarawak). Perubahan ini adalah hasil daripada Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional yang telah diumumkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 September yang lalu bertempat di London. Menurut beliau lagi, Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) itu akan melibatkan dua aspek penting iaitu program Pendidikan Asas Vokasional (PAV) dan Kolej Vokasional (KV). Katanya, PAV akan ditawarkan kepada pelajar menengah rendah seawal tingkatan satu sehingga tingkatan tiga, iaitu lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang cenderung kepada pendidikan bercorak amali.
Menurut beliau lagi, Kurikulum KV mempunyai dua komponen iaitu 70 peratus kemahiran vokaisonal dan 30 peratus akademik bagi memenuhi falsafah pendidikan kebangsaan. Pada akhir tahun keempat, pelajar sudah memperolehi Diploma Kolej Vokasional, iaitu selari dengan kepatuhan SKM Tahap 4.
"KV akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran insaniah dan kemahiran keusahawanan. Latihan industri akan diperkenalkan pada beberapa peringkat pengajian, iaitu asas pendidikan berasaskan pengeluaran selama sebulan, diikuti tambahan tiga hingga enam 6 bulan untuk praktikal di syarikat industri," katanya.