SM NASARUDIN SM NASIMUDDIN (dua dari kiri) dan Idris Jusoh (tiga dari kiri) bersama wakil politeknik ,Kolej Vokasional dan kolej komuniti yang menerima replika kunci kereta Naza Forza sumbangan Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin di Gurun, Kedah, semalam.
JERAI 8 Dis. - Yayasan Tan Sri SM
Nasimuddin hari ini menyumbangkan 100 buah kereta jenis Naza Forza bernilai RM4
juta kepada Kementerian Pendidikan untuk kegunaan politeknik, kolej vokasional
dan kolej komuniti terpilih di seluruh negara.
Pengerusi Eksekutif Bersama
Kumpulan Syarikat Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, sumbangan tersebut
bertujuan memenuhi tanggungjawab sosial korporat di samping membantu usaha
kerajaan meningkatkan sistem pendidikan negara.
Beliau yang juga Ahli Lembaga
Pengarah yayasan itu berkata, kereta tersebut juga boleh memberi manfaat kepada
para pelajar 47 institusi terbabit meningkatkan kemahiran teknikal dan
automotif.
“Kami amat berbesar hati kerana
dapat menyumbangkan bahan untuk pengajaran teknikal kepada setiap institusi
ini. Yayasan dan Kumpulan Syarikat Naza yakin ia dapat membantu dalam
pendidikan yang lebih holistik kepada hampir 8,000 pelajar terutamanya yang
terlibat dalam kursus kejuruteraan dan teknikal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas majlis penyerahan replika kunci kenderaan kepada wakil
institusi terbabit yang disaksikan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris
Jusoh di Naza Automotive Manufacturing (NAM) Sdn. Bhd., Gurun, di sini.
Yang hadir sama ialah Ketua
Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik Kementerian Pendidikan, Datuk Mohlis
Jaafar dan Pengarah Bahagian Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Datuk Ahmad
Tajudin Jab.
SM Nasarudin berkata, kereta Naza
Forza tersebut merupakan kenderaan hatchback mini lima pintu yang mula
diperkenalkan di pasaran sebagai Naza Sutera pada tahun 2006.
Katanya, model tersebut mendapat
sambutan menggalakkan dengan jualan lebih 11,000 unit dan dihentikan
pengeluaran pada tahun 2010.
“Selain sumbangan kereta, yayasan
juga akan menanggung semua kos logistik dan pembaikan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan,
beliau berkata, Kumpulan Syarikat Naza komited membantu mempertingkatkan sistem
pendidikan negara apabila mengambil inisiatif menubuhkan Akademi Naza di Gurun
dengan pelaburan sebanyak RM20 juta pada 2006.
Sementara itu, Idris berkata,
kerajaan memang menggalakkan sektor korporat dan industri membuka akademi
sendiri.
Beliau berkata, langkah tersebut
bukan sahaja membantu melahirkan tenaga kerja terlatih tetapi turut mengatasi
masalah pengangguran dalam kalangan muda-mudi.
“Usaha yang diambil Kumpulan Syarikat
Naza wajar dicontohi kerana selain terlibat aktif dalam perniagaan, ia turut
menjayakan hasrat kerajaan melahirkan sebanyak mungkin golongan masyarakat
berpendidikan,” katanya.